APRIL 2024

Cadangan Bina Anjung Selera Makanan Laut Di Tapak Kaul Oya


MUKAH: Sebuah anjung selera makanan laut akan dibina di Tapak Kaul Oya bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat tarikan pelancong.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, anjung selera tersebut mengambil konsep anjung selera di Melaka yang menyajikan makanan laut. Mengikut konsep itu, makanan siap dimasak kepada pengunjung di pantai.

“Bagi memastikan pengunjung datang ke tapak kaul ini bukan sahaja ‘one-off’ semasa Pesta Kaul, tetapi sepanjang tahun, kami akur perlunya menambah kemudahan yang ada di sini,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Perasmian Pesta Kaul Oya 2024 dan Benteng Kawalan Hakisan Pantai Kuala Hilir Oya di Tapak Kaul Pantai Kuala Hilir Oya, semalam.

Katanya, selain anjung selera, turut 

 dibina pentas utama berbumbung serta dewan serbaguna. Projek tersebut akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Sebanyak RM4 juta anggaran diperlukan dan skop projek turut mencakupi pmbinaan tapak perniagaan, tandas, lanskap dan Replika Teba Tuanku atau perigi tuanku.

Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menambah sebanyak RM1.2 juta turut diperlukan untuk membina surau di situ yang mampu menempatkan seramai 90 jemaah.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.